Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya tidak memotong wang bantuan
persekolahan RM100 yang diberikan oleh kerajaan kepada semua pelajar
sekolah menengah dan rendah.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, meminta mana-mana PIBG yang berbuat demikian supaya segera memulangkan wang yang dipotong itu kepada pelajar berkenaan.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, meminta mana-mana PIBG yang berbuat demikian supaya segera memulangkan wang yang dipotong itu kepada pelajar berkenaan.
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar, beliau berkata ia
tidak seharusnya berlaku kerana kerajaan telah memutuskan bantuan itu
adalah untuk diagihkan sepenuhnya kepada pelajar dan keluarga mereka.
"Kita minta kerjasama pentadbiran sekolah untuk pastikan bantuan RM100
ini diberikan sepenuhnya, jangan kurang satu sen pun...ini keputusan
kerajaan.
"Kita tidak mahu nanti timbul salah faham dan ada pihak yang
menyalahkan kerajaan kerana dikatakan `cakap lain, buat lain'," katanya
pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Belia
Wilayah Persekutuan sempena program turun padang sehari beliau ke
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.
Sebanyak RM550 juta diperuntukkan oleh kerajaan bagi melaksanakan
program wang bantuan persekolahan itu, yang diumumkan oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012
pada Oktober lalu.
Isu potongan bantuan itu dibangkitkan seorang bapa pada sesi soal
jawab bersama Muhyiddin pada majlis itu, yang mendakwa PIBG sebuah
sekolah rendah di sini memotong RM50 daripada bantuan itu.
Dalam jawapannya, Muhyiddin berjanji akan menyiasat perkara itu.
"Perdana Menteri sudah sebutkan, Timbalan Perdana Menteri pun sudah
beritahu, dapat RM100, kenapa bawa balik RM50?. Ini adalah komitmen
Perdana Menteri hendak tolong rakyat, hendak ringankan beban mereka,
jadi kalau dah awal-awal dipotong. makin terbebanlah rakyat.
"Jika ada apa-apa bayaran, itu kemudianlah, bagi dulu RM100 tu.
Kalau selepas ini PIBG hendak minta apa-apa bayaran, itu soal lain. Ini
duit yang telah diberikan oleh kerajaan," katanya.
No comments:
Post a Comment